Sufi #1 : Gadis di Hati Ibu

By Ainum Lathifah - January 08, 2017


“Sepertinya ada awan mendung yang menutupi wajah cantik di hadapanku ini, kenapa ibu?” Aku mengambil tempat di sebelah ibu. Tangan aku perlahan menyapu pasir yang bertaburan sebelum melabuhkan duduk. Jeti ini semakin usang dimamah usia tetapi laut yang terbentang luas di hadapan tidak mematikan serinya.

“Tidak ada apa-apa, nak.” Ibu senyum memandangku tetapi suaranya sedikit perlahan. Aku tahu suara itu, lagi tahan sendu.

“Sufi bukan lagi anak kecil, ibu. Sudah mampu meneka permainan hati. Iya, walaupun tidak sehebat dan sepengelaman ibu. Ayuh, ceritakan saja. Bukan selalu Sufi dapat peluang pulang ke kampung untuk dengar hikayat ibu.” Aku kuis bahunya manja namun, hatiku begitu penasaran.

Ibu tersenyum lagi. Kali ini lebih ikhlas. Ibu melepaskan keluhan berat sebelum membuka suara.

“Bukan apa-apa yang penting, Sufi. Ibu cuma teringat akan seseorang.”

“Siapa ibu? Sufi kenal siapa dia?” Aku bertambah penasaran.

“Tidak. Dia bukan seseorang yang Sufi kenal. Ibu terkenangkan seorang gadis. Cantik sekali. Orangnya cerdas. Idea fikirannya selalu mengundang kagum orang banyak. Senyum dan tawanya menghiburkan hati sesiapa saja yang melihatnya. Dia bagaikan bintang yang bercahaya dengan begitu terang, sehingga hari siang pun malu kepadanya.”

Aku setia mendengar cerita ibu. Telefon bimbit siap aku setkan dalam mod senyap. Tidak mahu ada gangguan. Cerita ibu ini penting, aku tahu.

“Tetapi dia gadis yang gagap. Dia sempurna dalam segala hal kecuali kepetahan berbicara. Tidak kurang ada yang selalu mengejek dan membulinya. Tetapi dia itu lembut dan berhati baik, terima saja tanpa tahu atau tidak mahu melawan. Sampai masa dia jatuh cinta dengan seorang pemuda yang sangat mencintainya juga. Mereka bernikah. Kamu tahu, Sufi, perangainya persis Sufi bila dia lagi takut atau gementar. Dia tidak mampu bersuara apa-apa.” Ibu ketawa perlahan sambil mencubit pipiku.

“Tetapi Sufi lebih hebat kan, bu? Sufi terbisu sesaat saja. Setelah sesaat Sufi kembali…”

“Kembali jadi murai tercabut ekor?” Ibu memotong percakapanku diikuti senyuman meleret. Aku pura-pura merajuk.

“Dan sudah menjadi kebiasaan bila dia takut atau gementar ayahnya akan menepuk lembut bahunya. Sebagai tanda memberi sokongan dan kekuatan. Dan dia akan mampu bercakap setelah itu. Namun setelah bernikah, suaminya pula yang mengambil alih tugas ayahnya itu. Setia dia ada di belakang isterinya bila mana isterinya takut atau debarkan sesuatu.”

Tanpa sedar bibirku mengukir senyum. Manis dibayang. Tetapi ibu diam tidak menyambung cerita.

“Terus, bu?” Aku tidak mampu menyembunyikan rasa ingin tahu yang terlalu. Kenapa ibu permainkan perasaanku yang begitu penasaran saat ini?

“Mereka berpisah setelah itu.”

Aku bertakbir perlahan. Terkejut. Takdir sememangnya hal yang tidak dapat kita duga. Bertakbir mengenangkan betapa Allah itu akbar dalam menguruskan cerita hamba-Nya.

“Kerana apa mereka berpisah?” Aku cuba menahan getar dalam suara. Lama ibu merenung langit.

“Ibu tidak tahu, Sufi. Cuma yang ibu fikirkan, apakah saat itu tidak ada yang menepuk lembut bahunya?”

“Saat yang mana maksud ibu?” Aku sudah tidak mampu mengawal penasaran. Seperti mahu saja aku masuk ke dalam otak dan hati ibu biar aku sendiri baca ceritanya sampai habis!

“Gadis itu sudah tiada di dunia ini, Sufi. Dengan anaknya yang masih di dalam kandungan dan suaminya tidak tahu tentang anak itu.”

“Ya Allah..” Aku kehilangan kata-kata. Apakah?

“Mati itu pasti dan sudah ditentukan ajal kita bila dan di mana. Ibu bukan mahu mempersoalkan kerja Tuhan cumanya ibu terfikir, asbab kematian gadis itu… adakah kerana kebisuan yang membunuh?” Suara ibu makin perlahan.

“Bisu… kerana bahunya sudah tidak ada yang menepuk ketika dia lagi takut.” Giliran aku merenung langit. Padahal mahu menampung airmata yang mula bertakung berlumba mahu jatuh ke laut.

Jeda. Cuma lagu ombak yang berbunyi meneman sunyi.

“Tetapi sebenarnya dia ini siapa, ibu? Kenalan ibu?” Aku bertanya lagi.

Ibu kemudiannya tersenyum kemudian ketawa. Kenapa dengan ibu? Sungguh aku tidak mengerti wanita di hadapanku ini.

“Itulah… ibu ajak Sufi tonton cerita dengan ibu, Sufi tolak.” Ibu ketawa lagi.

“Ibu… jangan cakap yang semua cerita tadi cuma…” Aku mula merenung ibu geram. Ibu!

“Ya… cerita hindustan. Thapki Pyaar Ki. Esok kita tengok sama-sama, ya. Esok episod menarik sebab Sankar jahat kurung Thapki dalam balang pasir.” Ibu bertutur selamba sambil bangun dari duduknya. Aku kebingungan.

“Ibu… apa yang ibu lakukan ke Sufi ini jahat.” Aku mula mengulang ayat Cinta dalam Ada Apa Dengan Cinta.

“Maafkan saya, Cinta. Tetapi Cinta harusnya tahu di sebalik jahatnya perbuatan saya ini, ada pengajaran yang perlu Cinta belajar.” Kata ibu lalu dia teruskan perjalanan pulang ke rumah.

Jeda. Sekali lagi ombak meneman sunyi. Kali ini disertai dengan bunyi tapak kaki ibu.

Aku senyum memandang wanita cantik di hadapanku ini. Airmata kubiar jatuh bebas ke laut. Aduhai, ibu… nakal tetapi geliga. Ayah, ayah sangat beruntung.

Eh, Sufi juga!



Besut, 6 Disember 2016 | © meremuna


  • Share:

You Might Also Like

2 comment(s)

“Hanya sedikit ini yang kutahu, kutulis ia untuk-mu, maka berbagilah dengan-ku apa yang kau tahu.”